DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya insiden banjir kilat berlumpur di Janda Baik, Bentong, Rabu lalu yang dikhuatiri berpunca daripada aktiviti pembalakan di hulu sungai.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, yang juga penduduk kawasan terbabit serta maklumat diterima beberapa penduduk menyatakan keadaan seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 20 hingga 30 tahun mereka tinggal di situ.
“Namun kejadian seperti ini berkemungkinan besar akibat oleh perbuatan tidak bertanggungjawab seperti pembalakan di hulu sungai hingga mengganggu keseluruhan ekosistem semula jadi di Janda Baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahir turut memaklumkan, hujan lebat berterusan itu juga menyebabkan beberapa kampung sekitar kawasan Janda Baik dilanda banjir kilat.
“Antara kampung terjejas teruk dalam kejadian tersebut termasuklah Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh, yang menyebabkan 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat,” katanya.
Beliau berkata, berikutan itu, pengusaha chalet dan penduduk kampung di sekitar Janda Baik berkemungkinan besar akan menempuh detik cemas sekali lagi apabila kawasan itu diramal dilanda banjir kilat buat kali ketiga ketika musim monsun barat daya yang bermula esok.
Tambahnya, lokasi Janda Baik yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, menjadikan lokasi ini tempat strategik untuk industri pelancongan dan inap desa.
“Janda Baik menjadi tempat istirehat dan bercuti untuk segenap lapisan masyarakat – B40, M40 dan T20 dengan kadar sewa inap desa bermula dari RM 50 satu malam.
“Lebih menyedihkan, lokasi inap desa ini yang berdekatan dengan sungai di Janda Baik, telah terjejas teruk dek kerana siri banjir kilat berlumpur ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan untuk melaksanakan satu kajian yang lebih akademik dan telus untuk mencari punca dan cara mengatasinya keadaan berkenaan.
Katanya, media sebelum ini melaporkan sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk akibat banjir tahun lalu dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet.
“Lima anak sungai utama termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Kuala Lurau dan Sungai Tampik, yang sebelum ini membekalkan air bersih dan menjadi daya tarikan pelancong, kini tidak lagi seperti dahulu.
“Justeru, DPIM menggesa tindakan tegas dan segera perlu diambil sebelum Janda Baik bertukar daripada tempat peranginan kepada pusat bencana alam,” katanya. – Malaysiapost

