PM beri sumbangan pada waris penuntut USAS

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terlibat nahas di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, semalam.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik beliau, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad, kepada waris tiga mangsa yang masih berada di Hotel Casuarina.

Syed Mohd Fazmi berkata, Perdana Menteri sangat prihatin dengan tragedi yang menimpa kelima-lima penuntut berkenaan.

“Beliau mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dan beliau juga telah mengarahkan supaya tindakan segera diambil.

“Kita telah berhubung dengan pihak berkaitan untuk disegerakan dari segi pengecaman dan insya-Allah, kalau boleh diselesaikan hari ini juga untuk dihantar ke kawasan masing-masing bagi tujuan pengebumian,” katanya memetik Astro Awani.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Perak dan USAS yang banyak membantu urusan keluarga mangsa.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar turut menziarahi keluarga mangsa.

Beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

Dalam kemalangan awal pagi semalam, lima penuntut USAS rentung dalam nahas melibatkan dua lori dan satu kereta itu.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 tahun, dari Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 tahun, dari Kemaman, Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23 tahun, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 tahun, dari Batu Caves Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 tahun, dari Parit Buntar Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here