KONSEP Keluarga Malaysia signifikan untuk diamalkan bagi mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 berulang kembali, kata Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, penerapan konsep Keluarga Malaysia yang secara kebetulan menjadi rencah prinsip perjuangan dan pembawaan kerajaan Malaysia pada masa ini.
“Keluarga Malaysia yang dimaksudkan adalah penerapan nilai-nilai murni seperti kebertanggungjawaban bersama, sikap hormat menghormati serta bertolak ansur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, keturunan, agama dan kepercayaan.
“Selain daripada mengharapkan pihak kerajaan memperkasakan dasar-dasar berkaitan, masyarakat kita juga harus memberhentikan apa jua bentuk ekstrimis agama dan sentimen perkauman,” katanya dalam hantaran Facebook.
Jalaluddin berkata, semua pihak tidak wajar menyentuh mana-mana isu yang dianggap sensitif dan boleh mencetuskan api-api ketegangan dalam negara.
Tambah beliau, negara ini mempunyai banyak elemen boleh membuatkan rakyat bersatu hati dan hidup sebagai sebuah keluarga besar, tidak perlu sibuk memikirkan perkara yang sensitif dan mampu membakar api kemarahan sesetengah pihak.
“Justeru, sekali lagi saya secara rendah hati ingin mengajak semua khususnya keluarga saya di Jelebu dan Wilayah Persekutuan untuk sama-sama menegakkan aspirasi perpaduan dan permuafakatan dalam kalangan masyarakat.
“Mulakan dari sekecil-kecil kumpulan masyarakat seperti di dalam rumah kita sendiri, kejiranan, kawasan taman perumahan atau kampung halaman. Lambat laun ia akan merebak menjadi sebuah gelombang kemesraan dan mencipta sebuah Keluarga Malaysia yang besar serta makmur,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu, memetik peribahasa “kalah jadi abu, menang jadi arang” yang menggambarkan kesan daripada peristiwa 13 Mei.
Katanya, konflik berdarah itu merugikan semua kaum, selain menjejaskan imej negara di persada antarabangsa.
“Sebab itulah bila ditanya kepada siapapun, tiada yang mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali,” katanya. – Malaysiapost

