PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Kerajaan kelantan susulan kegagalam menyelesaikan isu bekalan air di negeri itu.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, adalah tidak wajar sekiranya isu itu masih tidak dapat diselesaikan memandangkan PAS sudah memerintah Kelantan lebih tiga dekad sejak 1990.
“Masalah air di negeri Kelantan ni dah lebih 30 tahun. PAS dah memerintah Kelantan pun dah lama – sejak tahun 1990.
“Maksudnya, dah tiga dekad negeri Kelantan berhadapan dengan masalah bekalan air bersih,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, dalam tempoh masa yang sangat panjang itu, terlalu banyak alasan dan jawapan yang tidak memuaskan berkenaan isu air di Kelantan ini diberikan kerajaan negeri.
Katanya, antara alasan yang diberikan termasuk menyalahkan Umno serta menunding jari kepada Kerajaan Pusat kerana tidak bantu Kelantan menyelesai isu air.
“Paling terbaru – dikatakan air di Kelantan ni melebihi keperluan dan tak ada tempat nak simpan?
“Saya fikir, Kerajaan Negeri Kelantan bukan lagi sebuah kerajaan yang baru mentadbir negeri itu. Nak kata negeri Pembangkang, dah jadi sebahagian dari Kerajaan Pusat dah.
Menteri Alam Sekitar dan Air pun adalah Menteri PAS. Jadi tak perlu banyak alasan sebegini sebab yang menanggung susah dan masalah air ini adalah rakyat Kelantan juga,” katanya.
Syed Saddiq juga mengingatkan Kerajaan Kelantan supaya tidak mengabaikan hak rakyat negeri itu untuk mendapatkan bekalan air bersih.
“Jangan abaikan mereka sampai berpuluh-puluh tahun begini. Bekalan air bersih adalah hak untuk semua rakyat Malaysia termasuklah rakyat di Kelantan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan sehingga melebihi keperluan sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, tiada tempat simpanan air yang sesuai sehinggakan sumber air yang ada di bumi negeri itu tidak dapat dimanfaatkan.
“Kita di Kelantan, air ini melebihi keperluan. Dalam tanah, dalam sungai, air hujan semua tu melebihi, cuma kita tak boleh nak simpan, tak ada tempat nak simpan,” katanya. – Malaysiapost

