PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dan kepimpinannya akan memainkan peranan untuk memperkemaskan parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, bukan sahaja itu malah mereka akan memastikan Umno dapat memainkan peranan dalam mengemudi negara dengan baik.
“Umno akan mencari pendekatan terbaharu dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang maju, beriltizam dan berdaya saing.
“Dasar-dasar berteraskan keperluan rakyat semasa akan terus dilaksanakan dan diperbaharui. Umno mendengar segala permasalahan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook sempena sambutan Ulang Tahun Umno Ke-76, semalam.
Ahmad Zahid berkata, Umno akan terus memantapkan ideologi politik selaras dengan keperluan semasa supaya rakyat memahami aspirasi dan visi parti itu untuk Malaysia.
Katanya, parti itu juga akan terus menjayakan agenda politik inklusif yang lebih berpusatkan rakyat – “From Big Government to Big Society”.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pengertian di sebalik penglibatan di dalam Umno adalah lebih dari sekadar mendaftar sebagai ahli, memakai baju parti dan menyertai program parti.
“Penyertaan kita di dalam Umno adalah usaha membentuk hubungan berterusan parti dengan menyantuni rakyat. Kita semua merupakan sebahagian daripada usaha amal dan bakti yang lebih besar demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – Malaysiapost

