BEKAS Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno melalui perjalanan yang penuh cabaran sejak penubuhannya 76 tahun yang lalu hingga ke hari ini.
Beliau berkata, pelbagai ranjau yang dilalui Umno termasuk perbezaan dan perbalahan dalaman yang hampir melumpuhkan parti itu.
Selain itu, katanya, Umno juga berdepan tekanan politik dari luar parti termasuk daripada musuh-musuh yang ingin menghancurkan parti berkenaan.
“Malah ada yang memilih keselesaan, meninggalkan kami berduyun-duyun. Yang tinggal, Umno dengan ahli yang setia.
“Akar umbi menunjangi parti, memahami dan meneruskan perjuangan, menjulang kami semula,” katanya menerusi Facebook sempena Ulangtahun Umno ke-76, hari ini.
Najib berkata, tidak dinafikan, populariti dan sokongan terhadap Umno berubah-ubah sepanjang masa sehingga kini.
Namun, katanya, Umno jelas terhadap peranan dan tanggungjawabnya kepada rakyat, selain sentiasa berpegang kepada prinsip tersebut.
“Umno kekal bersama. Umno kekal kukuh. Umno kekal dengan perjuangannya.
“Di masa kami memimpin, kami berusaha meningkatkan taraf dan kebajikan rakyat. Melaksanakan pembangunan.
“Di masa kami jatuh, kami bersuara membela rakyat. Kerana Umno sebuah perjuangan rakyat. Selamat ulang tahun ke-76, Umno,” katanya. – Malaysiapost

