Sukan SEA Hanoi: Atlet negara beraksi dalam beberapa acara final hari ini

0
1

KONTINJEN negara meneruskan rentak cemerlang di temasya Sukan SEA Hanoi apabila mendahului carta pungutan pingat dengan enam emas, dua perak dan dua gangsa menjadikan keseluruhan 10 pingat diraih setakat ini.

Pasukan negara juga dijangka akan menambah lagi pingat dalam beberapa saingan final yang dijadualkan hari ini.

Skuad terjun negara bakal meneruskan prestasi cemerlang dalam acara final 3 meter (m) papan anjal lelaki disertai penerjun Gabriel Gilbert Daim dan Muhamad Syafiq Puteh yang bakal berlangsung jam 4 petang ini.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong bersama Nur Dhabitah Sabri pula akan beraksi dalam acara final 10m platform seirama yang dijadualkan berlangsung pada jam 5.10 petang.

Atlet pencak silat negara juga dijadualkan beraksi dalam saingan final ganda lelaki oleh gandingan Muhammad Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga yang bakal bertemu pesilat Singapura Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque pada jam 11.30 pagi nanti.

Acara kurash turut menyaksikan peserta negara Yousuff Daniel Fauzi Cruz beraksi di saingan separuh akhir kategori bawah 66 kilogram (kg) lelaki yang dijadualkan pada jam 5 petang.

Selain itu atlet kick boxing, Mohammad Rifdean Masdor akan beraksi dalam acara final kategori bawah 51kg menentang peserta tuan rumah Vietnam, Tuan Huynh Van pada jam 6.30 petang nanti.

Peseta kick boxing wanita negara, Hayatun Najihin Radzuan turut bersaing di acara separuh akhir kategori bawah 51kg wanita menentang Araos Iniong Gina dari Filipina pada jam 7.25 malam.

Akhir sekali skuad bola sepak negara akan turun menentang pasukan Laos bagi perlawanan kedua peringkat kumpulan B pada jam 8 malam ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here