SKUAD Harimau Muda terus garang mengaum di temasya Sukan SEA 2021 apabila berjaya melunaskan dendam ke atas Laos dengan kemenangan 3-1.
Anak buah Brad Maloney tampil dengan aksi bertenaga dan meyakinkan bagi melakar kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam, sebentar tadi.
Menyenaraikan ramai pemain berbeza berbanding ketika tewas dua kali di tangan pasukan sama dalam Kejuaraan AFF, Februari lalu, aksi cemerlang di semua bahagian terutama tengah yang dikemudi kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nik Akif Syahiran Nik Mat membolehkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menguasai permainan.
Penyerang yang beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin meledak gol pembukaan Malaysia pada minit ke-36 selepas menerima hantaran daripada Nik Akif.
Syahir Bashah terus menceriakan kem negara apabila rembatannya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Laos, Keo Oudone buat kali kedua, dua minit sebelum rehat babak pertama.
BACA LAGI: Gandingan Pandelela, Nur Dhabitah hadiah emas kesembilan
Luqman kemudian menambah gol ketiga Malaysia pada minit ke-67 selepas merembat masuk bola yang berpunca daripada hantaran lambung Azfar Fikri Azhar.
Bagaimanapun Laos berjaya mendapat gol saguhati menerusi jaringan pada minit ke-85, Visith Bounpaserth.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Thailand 2-1 pada aksi pertama, Sabtu lalu. -Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram @FAMalaysia

