MALAYSIA meraih pingat emas keenam di Sukan SEA Hanoi selepas gandingan penerjun, Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya memenangi acara 10 meter (m) platform seirama lelaki di Pusat Akuatik My Dinh, sebentar tadi.
Pasangan itu berjaya mempamerkan prestasi cemerlang apabila mengumpul keseluruhan 345.93 mata sekaligus mengatasi tiga pencabar lain.
Sementara itu, gandingan Singapura Jonathan Fan Keng Chan dan Lee Shen Oon Max, pada mulanya dilihat mampu menggugat kedudukan Malaysia, mengakhiri perjuangan di tempat kedua dengan keseluruhan 322.50 mata bagi meraih perak.
Manakala gangsa menjadi milik gandingan Vietnam, Nguyen Quang Dat dan Dang Hoang Tu selepas memperoleh 251.46 mata. – Malaysiapost

