CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa pihaknya mengenal pasti kewujudan 54,000 pemilih dalam parti itu yang meragukan.
Bekas Naib Presiden PKR berkata dia sudah menghantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 12 April lalu mengenai kewujudan pemilih yang meragukan di seluruh negara menjelang pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada 13 Mei sehingga 22 Mei ini.
Naib Presiden PKR itu menjelaskan, perkara itu dikenal pasti menerusi penemuan senarai data melibatkan 1,500 nama pemilih yang didaftarkan hanya bersandarkan satu nombor telefon semata-mata.
“Apabila pasukan kami menelefon sebahagian anggota PKR didaftarkan menerusi satu nombor telefon berkenaan, mereka sendiri tidak menyedari sudah didaftarkan sebagai ahli parti.
“Selain itu, terdapat juga pendaftaran keahlian parti yang tidak bersertakan nombor kad pengenalan yang betul dan isu keahlian ragu disebabkan anggota parti lain yang dibawa masuk menjadi ahli PKR.
“Ini kerana proses pendaftaran keahlian parti hanya memerlukan nama dan kad pengenalan diri,” katanya dipetik Sinar Harian.
Bagaimanapun Rafizi berkata pihaknya berpuas hati dengan kesungguhan JPP PKR diketuai Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan.
Sementara itu, Dr Zaliha mengesahkan aduan yang dibuat oleh Rafizi dan JPP sedang mengambil langkah untuk membersihkan senarai pemilih.
“Kami akan memastikan integriti proses pengundian dan akan menghalang mereka yang mempunyai rekod keahlian yang meragukan daripada mengundi,” katanya.
Pada pemilihan PKR 2018, aduan serupa mengenai rekod keahlian yang meragukan juga ditimbulkan khususnya di Sarawak.
Rafizi bakal ditentang Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. – Malaysiapost

