AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah digesa memberi penjelasan berhubung dakwaan kenyataannya bahawa Umno menerima RM40 bilion setiap tahun dari Petronas sejak 1970-an.
Pemimpin Bersatu Johor Badrul Hisham Shaharin, berkata penjelasan itu perlu kerana ia satu isu serius yang membabitkan jumlah wang yang besar.
“Ku Li perlu perjelas laporan yang dikatakan kenyataan beliau yang tersebar beberapa bulan ini menyatakan – Umno terima RM40 bilion setiap tahun dari Petronas sejak tahun 1970-an.
“Ini sesuatu yang serius, andaikanlah Umno terima RM40 bilion sejak tahun 1975 lagi, manakala Umno jatuh pada 2018. Bermakna selama 43 Tahun Umno terima RM40 bilion pada setiap tahun,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, sekiranya benar dakwaan itu, selepas dihitung jumlah yang diterima Umno mencecah RM1.5 trillion.
“Jika betul cakap Ku Li, patut la Umno kaya dan negara terjejas. Jika benar ia pengkhianatan dan pembaziran teruk. Sepatutnya Petronas salurkan kepada kerajaan untuk bantu rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya lagi, dengan wang RM1.5 trillion itu pelbagai perkara boleh dilakukan negara termasuk membeli 95 kapal Selam Scorpene.
“Bangunan KLCC RM1 Bilion – Negara boleh dapat 1,500 buah KLCC; Empangan Air RM2 Billion – Negara boleh dapat 750 Empangan.
“Tapi yang dapat RM1.5 trilion adalah Umno bukan rakyat. Apa jadi dengan semua duit berkenaan?,” katanya.
Justeru, beliau meminta Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dan Umno tampil menjelaskan dakwaan berkenaan.
Terdahulu, sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan Tengku Razaleigh secara terbuka mengakui dalam satu wawancara bahawa Petronas memberi sebanyak RM40 bilion kepada Umno setiap tahun sejak 1970-an. – Malaysiapost

