POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat di dua masjid dan tiga tanah perkuburan Islam di kawasan Sungai Kob, Kulim.
Dia mendakwa, sejak tahun lepas mendakwa mendengar bisikan suara ghaib menyuruhnya melakukan perbuatan khianat itu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Taman Mutiara, dekat sini Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim hasil operasi dan risikan telah dijalankan pada Selasa lalu.
Mohd Redzuan memaklumkan, pemeriksaan mendapati lelaki itu terlibat dalam lima kes khianat yang berlaku di dua buah masjid dan tiga kawasan perkuburan Islam di sekitar kawasan Sungai Kob, Kulim.
“Kejadian mula berlaku pada bulan Oktober 2021 dan beberapa lagi siri kejadian selepas itu sehinggalah pada kejadian yang terbaru adalah pada Mei 2022.
“Punca kejadian adalah dari pengaruh dadah dan tangkapan mengatakan mendengar ‘bisikan’ mendesak melakukan perbuatan khianat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang tidak bekerja memiliki enam rekod dadah dan tiga rekod jenayah.
Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut merampas dadah jenis heroin ketika menahan lelaki itu.
Menurut Mohd Redzuan, sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama. – Malaysiapost

