PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tiada keperluan mendesak untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan seperti dituntuk oleh segelintir pihak.
Beliau berkata, sebaliknya PAS berpendirian adalah lebih baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang turut dianggotai oleh parti itu diberi peluang melaksanakan tugas mereka sehingga berakhirnya penggal semasa.
“Kita bersetuju sekiranya PRU15 ditangguhkan dan diadakan sehingga habis penggal.
“Lebih baik kerajaan diberi peluang melaksanakan tugas dalam tempoh secukupnya,” katanya memetik MalaysiaKini.
Perhimpunan Agung Umno 2021 telah meluluskan dua usul supaya PRU15 disegerakan serta menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum.
BACA LAGI: Selepas bertukar-tukar parti, Ezam kini sertai Berjasa
Hadi juga mengulangi pendirian parti itu bahawa tiga negeri yang ditadbir oleh PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan mengadakan pilhan raya negeri sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan dalam tempoh terdekat.
“Kita tidak akan berganjak dengan keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri bawah pemerintahan PAS hanya akan dibubarkan hingga berakhirnya penggal.
“Yang semasa ini kita bersedialah pilihan raya bila-bila masa, walau pun kita dah buat kenyataan tiga kerajaan negeri supaya habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, politik ini bersama dengan wabak yang belum lagi selesai,” katanya.
Mac lalu, PAS dilapor memutuskan bahawa DUN di tiga negeri dikuasainya, hanya akan dibubarkan hingga habis penggal pada tahun depan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dipetik berkata, keputusan itu adalah pendirian muktamad bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
Bagaimanapun, Hadi berkata, PAS tetap bersiap sedia menghadapi PRU15, sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.
“Kita dah gerak semua jentera-jentera di seluruh negeri, seluruh negara. Kita gerak cawangan-cawangan kita dan tambah cawangan-cawangan, tambah ahli-ahli.
“Kita kaji melalui post mortem tiga pilihan raya negeri yang telah diadakan di Sabah, Melaka dan Johor Ini termasuk menggerakkan jentera dan menambah cawangan serta ahli di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, katanya, PAS kekal dengan agenda perpaduan ummah melalui kerjasama dengan Bersatu dan Umno, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kita akan melihat perkembangan kerjasama ini. Namun hingga kini, PAS terus membawa agenda perpaduan ummah, iaitu Islam dan umat manusia,” katanya. – Malaysiapost

