MANGSA banjir di daerah Pontian meningkat kepada 168 individu daripada 31 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan tiga PPS setakat tengah hari ini.
Berdasarkan maklumat di Portal Bencana, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), setakat jam 12 tengah hari tadi tiga PPS yang dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bunian, SK Seri Bukit Panjang dan SK Melayu Raya.
“SK Sri Bunian menempatkan 117 individu membabitkan 20 keluarga, manakala 32 individu daripada tujuh keluarga di SK Seri Bukit Panjang.
“PPS SK Melayu Raya pula menempatkan 19 individu daripada empat keluarga dengan keseluruhan tiga kampung terjejas setakat ini, iaitu Kampung (Kg) Seri Segambut, Kg Jasa Sepakat dan Kg Bukit Panjang.
Terdahulu media melaporkan hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di Pontian dilanda banjir kilat.
BACA LAGI: Premis disyaki menyebabkan pencemaran diarah henti operasi
Susulan kejadian itu, PPS pertama mula dibuka pada jam 9.30 pagi semalam bagi menempatkan penduduk yang terjejas. – Malaysiapost





