UMNO pasti akan berbincang dalam menentukan tarikh terbaik bagi Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk membubarkan Parlimen.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, kepimpinan tertinggi parti itu akan berbincang bagi memastikan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tarikh yang sesuai untuk Perdana Menteri meminta perkenan Yang di Pertuan Agong.
“Ini telah menjadi kesepakatan bukan hanya di kalangan ‘Top 5’ parti tetapi juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mahu keharmonian terpelihara di samping suara parti diangkat.
“Umno juga hormati MoU (antara Kerajaan dan pembangkang) yang terpakai sehingga 31 Julai, jadi tidak timbul bubar Parlimen sekarang, tetapi tidak juga terlalu lambat,” katanya dipetik Astro AWANI, hari ini.
Shahril berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Nazri berkata, kestabilan yang sedang dikecapi sekarang tidak perlu dikucar-kacirkan dengan desakan agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan sekiranya Umno mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti itu kerana dianggap mengkucar-kacirkan kestabilan.
Mengulas mengenainya, Shahril menegaskan bahawa keputusan MKT Umno adalah MoU bersama pembangkang itu tidak akan dilanjutkan.
“Ini merupakan isyarat bahawa meskipun tidak timbul isu desakan PRU segera, tetapi selepas 31 Julai, Umno bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.
Umno telah menetap ketetapan dalam Perhimpunan Agung Umno 2021, bahawa perwakilan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan MKT untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Itulah semangat musyawarah dalam UMNO yang subur,” katanya. -Malaysiapost

