DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan dakwaan bahawa berlaku kejadian bekalan ‘air terputus’ ketika memadam kebakaran di Berek 12, Kota Bharu Kelantan baru-baru ini, hanyalah modal politik pembangkang.
Ketuanya, Shahir Adnan, berkata isu air sering kali menjadi modal politik pembangkang di Kelantan yang menyiarkan laporan berat sebelah tanpa fakta yang betul.
Katanya, rakyat Kelantan diminta tidak terpengaruh dengan dakyah dan cerita berat sebelah mengenai perkara itu.
“Sejak kepimpinan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, Kelantan tidak lagi dianaktirikan. Sebagai contoh, bilangan Loji Rawatan Air LRA di Kelantan kini mencecah 34 loji dengan liputan bekalan sebanyak 72%.
“Untuk penyelesaian segera, isu ketiadaan air atau tekanan rendah di Kelantan, LRA Kampung Telok dengan kapasiti 30 Juta Liter Sehari JLH dibina. LRA Tanjong Mas dan LRA Chicha II turut dibina dengan kapasiti 40 JLH.
BACA LAGI: Kerajaan Kelantan tiada keazaman menyelesaikan masalah rakyat – Dr Agus
“Pembinaan TAPS dan Loji Rawatan Air Bersepadu dengan kapasiti 500 JLH dianggarkan untuk meluaskan liputan air daripada 72 peratus kepada 90 peratus dalam masa terdekat.
“Malah, rizab bekalan air juga dianggarkan meningkat dari sifar kepada 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua pihak termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) perlu proaktif dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat Kelantan supaya isu air tidak menjadi modal pembangkang di negeri ini.
“Banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak KASA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara SPAN dalam memastikan masalah air rakyat Kelantan dapat diselesaikan dengan cepat.
“Selaku Pengerusi DPIM, saya ingin mengajak semua pihak bersatu hati dalam memulihkan isu air di Kelantan yang dianaktirikan selama lebih 60 tahun.
“Isu ketiadaan air sewaktu kebakaran di Berek 12 Kelantan menjadi modal politik, walhal air bersih sebenarnya disalurkan dan terbukti mengalir dengan tekanan tinggi di kawasan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Datuk Husam Musa menyoal AKSB mengenai kejadian didakwa bekalan ‘air terputus’ dalam kejadian memadam kebakaran.
Ini selepas penduduk tempatan mendakwa kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya lima rumah di Berek 12, Kota Bharu, Kelantan tidak dapat terkawal kerana kekurangan bekalan air.
Penduduk di Berek 12 sebelum ini mendakwa sudah 11 hari mereka tidak mendapat bekalan air ketika kebakaran itu berlaku, menyebabkan pihak bomba menghadapi kesukaran untuk menanganinya. – Malaysiapost

