Rakyat perlu tolak kelesuan, bangkit tuntut perubahan – Anwar Ibrahim

0
2
https://twitter.com/anwaribrahim/status/1461292575130673152/photo/1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya sedar dan menolak kelesuan negara susulan beberapa isu dan skandal yang diperkatakan serta bangkit menuntut perubahan sebaiknya.

Menurutnya, sekiranya isu yang dialami tidak ditangani dan dibetulkan, maka Malaysia akan menemui kepayahan untuk bangkit semula sebagai tatanan yang baik, berintegriti dan bertanggungjawab.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, hari demi hari negara dikejutkan dengan pelbagai perkara yang dilihat amat mendukacitakan dan membimbangkan.

“Pertamanya isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman Negara terkait Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Kedua, isu melibatkan Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Malaysia mesti mendapatkan keadilan bagi pihaknya sekiranya benar-benar melawan rasuah dan kebobrokan.

Anwar berkata, isu ketiga yang hangat diperkatakan adalah pendedahan terkini di mahkamah di New York, Amerika Syarikat yang menyentuh isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Keempat, kes melibatkan Serba Dinamik serta Suruhanjaya Sekuriti.

“Kelima, projek mega pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia yang dianugerahkan kepada konglomerat Digital Nasional Berhad (DNB) yang berpotensi untuk meledak seperti skandal 1MDB.

“Keenam, kejatuhan parah matawang Ringgit Malaysia kerana hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, yang terakhir adalah berkaitan kos sebenar projek Transit Aliran Massa (MRT) yang kini mencecah RM60 bilion.

Menurutnya, hal semasa terkait inflasi dan harga barang juga mesti ditangani dengan baik agar beban kepada rakyat dapat dikurangkan.

“Isu-isu yang saya senaraikan ini memerlukan tindakan dan langkah serta penjelasan segera.

“Perdana Menteri tidak seharusnya berdiam diri tatkala hal-hal mendesak ini terus mencengkam negara dan rakyat, serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Memorandum Persefahaman (MoU),” katanya.

Anwar berkata, kelesuan ekonomi saat ini ketimbang negara jiran Indonesia dari segi pelaburan asing (FDI), serta angka-angka melibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Pertumbuhan ekonomi, kadar kemiskinan serta pengangguran mesti dicerakinkan, diperbetul dan diperkukuhkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here