POLIS sedang mengesan pemandu kenderaan Myvi yang tular di media sosial, yang memasuki lorong motosikal di Kilometer (KM) 32.9 Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam di daerah Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah membuat satu laporan berkenaan insiden berkenaan 5.30 petang semalam.
Menurutnya, kenderaan yang terlibat adalah sebuah kereta jenis perodua Myvi putih.
“Dalam kejadian tersebut, tiada kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan pemandu kenderaan tersebut untuk diambil keterangan.
BACA LAGI: Fahmi Reza raih lebih RM40,000 jual karya NFT ‘Monyet Istana’
“Siasatan diteruskan Di Bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau turut meminta pemandu terbabit dan sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, untuk tampil ke balai polis berhampiran.
“Atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhamad Azri Ibrahim (011-12221914) bagi membantu siasatan.
“Selain itu, pihak polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan,” katanya. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

