Dua lelaki bergaduh di Hospital Sarawak ditahan

0
2

DUA lelaki ditahan selepas video pergaduhan mereka yang dipercayai berpunca dari pengeseran kenderaan, di Jalan Hospital berhampiran Hospital Umum Sarawak tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan pada jam 2 petang, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian gaduh itu berlaku pada 28 April lalu jam lebih kurang 2.30 petang, yang berpunca dari pergeseran kenderaan di antara kedua-dua individu tersebut.

“Semakan mendapati kedua-dua tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Saringan ujian air kencing juga dibuat dan kedua-dua didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashmon memaklumkan, pasukan polis telah berjaya mengesan dan menangkap dua orang lelaki tempatan yang terlibat dalam kejadian gaduh tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan Sabah janji bina semula jambatan gantung di Nabawan

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 bulan, atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

“Dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Kedua-dua tangkapan tersebut telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan permohonan reman dipohon pada hari ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here