Itu tindakan sendiri Ku Li, bukan keputusan parti – Annuar Musa

0
2

TAN Sri Annuar Musa menyifatkan kerjasama politik yang bakal dibentuk oleh Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dengan Pakatan Harapan (PH) adalah  tindakannya sendiri. 

Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan, apa-apa keputusan berhubung dengan hubungan antara parti hanya boleh diputuskan oleh parti dan melalui parti, lapor Astro Awani.

“Kita balik pada prinsip mudah sahaja. Apa-apa keputusan tentang hubungan antara parti hanya boleh diputuskan melalui parti. Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu maka ia jadilah kerja individu dan kerja individu tidak sama dengan kerja parti.

“Setakat saya tahu inisiatif yang diambil adalah inisiatif peribadi, saya tak tahu bermula di mana dan berakhir di mana,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Ku Li yang dikatakan menyusun langkah strategik dan kerjasama dengan PH dalam usaha menawan Kelantan.

Difahamkan satu pertemuan dan perbincangan awal antara pemimpin Amanah sudah diadakan di Kota Bharu pada satu program berbuka puasa, baru-baru ini.

Tambah Annuar, Umno juga sebelum ini telah membuat keputusan bahawa tiada jalinan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here