POLIS menerima empat laporan setakat ini berkaitan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan membabitkan upah lumayan kononnya ditawarkan oleh sebuah syarikat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata pihaknya telah mengesan satu mesej tular yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp mengenai tawaran kerja sambilan berkenaan.
“Kerja sambilan itu kononnya ditawarkan oleh syarikat Nixea dan melalui mesej berkenaan pihak syarikat menawarkan pekerjaan untuk memproses pesanan melalui platform aplikasi dengan upah lumayan sekitar RM300 ke RM500 sehari.
“Berdasar semakan, empat laporan polis telah dibuat berkait skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh pihak Nexea dan jumlah keseluruhan bagi kesemua laporan polis tersebut adalah RM69,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, melalui siasatan pelabur yang berminat diarahkan untuk memindahkan wang kepada pihak syarikat melalui akaun yang diberikan.
BACA LAGI: JSJN Rampas 287kg syabu bernilai RM10.3 juta
“Akuan terbabit bagaimanapun dimiliki oleh individu persendirian yang dipercayai ‘keldai akaun’. Pada peringkat awal pelabur akan menerima keuntungan yang dijanjikan.
“Namun setelah membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar, pihak syarikat akan memutuskan hubungan dengan pelabur,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu orang ramai yang berminat dengan tawaran bekerja secara sambilan adalah diingatkan untuk sentiasa berhati-hati.
“Sekiranya diminta untuk membuat pindahan wang (terutama kepada akaun bank milik individu persendirian) ianya adalah petanda bahawa anada mungkin menjadi mangsa penipuan.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan terutama tawaran kerja yang meragukan.
“Polis percaya wujud kemungkinan untuk penjenayah menyamar sebagai entiti perniagaan yang sah dalam usaha untuk memperdayakan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, sebarang nasihat atau maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599. Malaysiapost

