Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dukacita dengan kes tahanan melarikan diri di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap yang menyebabkan enam pelarian dari Myanmar termasuk dua kanak-kanak maut, minggu lalu.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya ketika lawatan pemantauan di sebuah pusat tahanan imigresen di Lenggeng, mendapati depot itu mengalami kesesakan.
Selain itu, katanya, depot itu termasuk di Langkawi dan Belantik, Kedah juga didapati kekurangan kakitangan.
Katanya, kebanyakan tahanan migran dihantar pulang ke negara asal melalui campur tangan wakil kedutaan negara masing-masing, namun pelarian Rohingya di Malaysia tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana peruntukan di bawah undang-undang adat antarabangsa, prinsip ‘non-refoulement’.
“Yang memberi jaminan bahawa tiada sesiapa harus dihantar pulang ke negara asal mereka di mana mereka akan mengalami penindasan.
BACA LAGI: Tidak adil tahan pelarian Rohingya bertahun-tahun – Najib
“Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi Malaysia merupakan sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).
“Perkara 22 CRC menyatakan bahawa negara pihak harus memastikan kanak-kanak yang mencari status pelarian, atau kanak-kanak yang telah disahkan sebagai pelarian hendaklah diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Aziah berkata, kanak-kanak pencari suaka atau yang telah diberikan status pelarian berhak untuk mendapat hak mereka di bawah empat prinsip utama CRC yang menyatakan bahawa golongan itu tidak boleh didiskriminasi.
“Mereka perlu dilayan dengan kemanusiaan dan rasa hormat, suara mereka harus didengari dan kepentingan terbaik kanak-kanak harus diberi keutamaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk memberi kebenaran kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengeluarkan kad kepada semua pelarian Rohingya, terutamanya mereka yang terlibat dalam rusuhan tersebut.
“Selain itu, program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi ke arah penyelesaian jangka panjang, dalam bentuk penempatan semula ke negara ketiga.
“Serta menubuhkan badan bebas yang terdiri daripada wakil-wakil selain daripada Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat kejadian tersebut,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk tidak menghukum pelarian Rohingya yang ditangkap semula atau menimbulkan ketakutan dan kebencian dalam kalangan penduduk tempatan di Relau terhadap pelarian Rohingya yang masih bebas.
Berkaitan melibatkan kanak-kanak Rohingya dalam projek rintis alternatif kepada penahanan, katanya, kanak-kanak perlu mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menambah lebih ramai kakitangan di depot imigresen yang kekurangan kakitangan. – Malaysiapost

