JENAZAH bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang meninggal dunia di Dublin, Ireland akan dikebumikan di Malaysia.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 pagi, Isnin ini.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula dari jam 8 hingga 9.45 pagi.
“Jenazah kemudian akan disembahyangkan di Dewan Solat Utama pada jam 10 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan,” katanya.
Sementara itu, pelawat yang akan memberi penghormatan terakhir dinasihat hadir mulai jam 8 hingga ke 9.45 pagi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, pada jam 10.15 pagi.
Allahyarham dilahirkan pada 29 Ogos 1955 di Kluang, Johor dan meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Ketua Setiausaha Negara ke-13 itu meninggal dunia pada Khamis lalu ketika menerima rawatan di Hospital Dublin. – Malaysiapost

