Hakim Nazlan disiasat SPRM

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut laporan The Star hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa siasatan telah dimulakan.

Katanya ia adalah prosedur biasa bagi SPRM untuk melakukan siasatan setiap kali laporan dibuat.

“Ya, kami telah memulakan siasatan. Prosedurnya adalah untuk menyiasat apabila laporan telah dibuat secara rasmi.

“Kami membuka kertas siasatan kerana ada laporan dibuat, bukan kerana dakwaan dibuat di portal atau media sosial,” katanya.

Terdahulu, Portal Malaysia Today milik blogger Raja Petra Kamaruddin dalam laporannya mendakwa Mohd Nazlan mempunyai “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya”.

Bagaimanapun, Nazlan telah membuat laporan polis berhubung artikel itu.

Sementara itu anak perempuan Tun Dr Mahathir Mohamad, Marina menafikan dakwaan bahawa Mohd Nazlan adalah saudara kepada bekas Perdana Menteri itu.

Mohd Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu dan Najib sedang merayu kes tersebut di Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here