CUEPACS menyambut baik usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan Task Force bagi menyemak semula pekeliling lama untuk diberi nafas baharu selain membatalkan terus mana-mana pekeliling yang sudah tidak relevan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata usaha itu selaras agenda kerajaan yang mahu memastikan perkhidmatan awam kekal berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat serta pemudahcara kepada sektor ekonomi.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi dan kemajuan negara ketika ini sudah tentu mengakibatkan banyak pekeliling lama tidak lagi sesuai dipraktik atau dilaksanakan berdasarkan perkembangan semasa.
“CUEPACS juga berharap JPA memberi penekanan kepada pekeliling yang sudah berkuatkuasa tetapi masih tidak dilaksanakan atau gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh sesetengah jabatan.
“JPA perlu memantau setiap pekeliling yang sudah diluluskan oleh kerajaan supaya hak dan kebajikan warga penjawat awam tidak diabaikan.
BACA LAGI: Bantuan Khas Aidilfitri: CUEPACS ucap terima kasih kepada PM
“Penekanan terhadap pemantauan pekeliling yang dikuatkuasakan penting bagi memastikan setiap objektif yang telah digarapkan oleh kerajaan untuk penjawat awam berjaya dilaksanakan dengan berkesan,” katanya menerusi kenyataan.
Adnan berkata, pekeliling yang dikuatkuasakan kerajaan sudah tentu telah menjalani suatu kajian terperinci sebelum ia boleh dilaksanakan.
Tambahnya, jika pekeliling tersebut tidak dilaksanakan dengan berkesan, menjadi kerugian kepada penjawat awam itu sendiri yang mendapat manfaat secara langsung daripada pekeliling tersebut.
Pekeliling tersebut, katanya, bukanlah tidak sesuai dilaksanakan atau tidak relevan tetapi ia disebabkan keengganan sesetengah jabatan untuk melaksanakannya.
“Antara pekeliling yang sudah dikuatkuasakan dan dilihat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana.
“Tindakan sesetengah jabatan yang tidak melaksanakan pekeliling ini sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam.
“Begitu juga kebenaran penebusan awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat sebanyak 80 hari yang dilihat masih lagi tidak dilaksanakan sedangkan pekeliling ini telah dikuatkuasakan bermula Januari 2022,” katanya.
Mengulas lanjut Adnan berkata, kelewatan pekeliling itu dilaksanakan seolah-olah manfaat yang patut diterima penjawat awam tidak diberikan keutamaan.
Justeru tegasnya, CUEPACS berharap JPA dapat menubuhkan suatu jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang telah diluluskan oleh kerajaan.
“Kerajaan sudah menggunakan banyak tenaga dan modal kerja bagi membuat sesuatu kajian kebolehlaksanaan sesuatu pekeliling.
“Adalah menjadi kerugian jika tiada jawatankuasa dalaman untuk mengaudit pelaksanaannya. Sudah tentu golongan sasaran iaitu penjawat awam tidak akan menerima manfaat untuk setiap pekeliling yang sudah dikuatkuasakan,” katanya. – Malaysiapost

