PERSEKITARAN Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis kini dilaporkan kembali tenang dan ramai umat Islam telah mula datang untuk mengimarahkannya selepas diceroboh rejim zionis Israel minggu lalu.
Keadaan itu dimaklumkan oleh Imam dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al Kiswani malam tadi dalam panggilan video bersama Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Walaubagaimanapun, Sheikh menjangkakan ada kemungkinan akan berlaku lagi siri-siri keganasan rejim Zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa menjelang hari-hari terakhir di bulan Ramadan ini.
“Sempena peristiwa keganasan tentera haram zionis Israel yang terbaru ke atas penduduk Palestin dan pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa baru-baru ini, saya mengambil kesempatan mengadakan panggilan video kepada Imam dan Pengarah Masjidil Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awadallah Al Kiswani malam tadi.
“Saya telah menerima laporan terperinci daripada Sheikh Omar mengenai kronologi peristiwa keganasan tersebut yang telah mencederakan hampir 200 orang penduduk Palestin dan lebih 300 lagi telah ditahan tanpa sebab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kesempatan panggilan video itu juga digunakannya untuk menyatakan perasaan marah beliau dan seluruh ahli Umno kepada kezaliman rejim zionis Israel.
Beliau menzahirkan simpati kepada penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa yang terpaksa berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya juga menyatakan dengan jelas kepada beliau bahawa rakyat Malaysia khususnya Umno akan terus kekal istiqamah bersolidariti bersama-sama dengan penduduk Palestin untuk mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa sampai bila-bila.
“Manakala Sheikh Omar juga mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan beliau yang tidak terhingga kepada keprihatan rakyat Malaysia khususnya Umno terhadap nasib yang sering menimpa umat Islam di sana dan ke atas Masjidil Aqsa itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, Sheikh Omar turut mengingatkan kembali sumbangan Biro Kebajikan Umno sebanyak USD200,000 (RM861,148) kepada pihak Masjid Al-Aqsa pada tahun lalu yang telah digunakan sepenuhnya untuk membaik pulih dan menambah fasiliti di kawasan masjid.
“Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana dan semoga Allah SWT memberikan mereka kekuatan dan kesabaran untuk terus menjadi benteng mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa Al Mubarak dari kekejaman dan kezaliman rejim zionis Israel,” katanya. – Malaysiapost

