POLIS sedang mengesan pemilik akaun Twitter bernama ‘Shabina’ selepas disyaki memuat naik satu hantaran mendakwa seorang pekerja orang kurang upaya (OKU) ditumbuk serta gaji dipotong kerana pelanggan enggan membuat bayaran atas kesilapan pekerja terbabit menghantar makanan dalam kejadian di sebuah restoran di Bukit Jelutong semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata hasil siasatan awal polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada sebarang pergaduhan yang menyebabkan individu berkenaan dipukul oleh pelanggan seperti ditularkan pemilik akaun Twitter tersebut.
“Malah, siasatan mendapati individu yang didakwa terlibat dalam pergaduhan tersebut ditugaskan untuk menjaga cawangan restoran berkenaan di kawasan lain iaitu Star Avenue.
“Bahkan individu yang didakwa sebagai OKU tersebut turut membuat laporan polis menafikan dirinya dipukul oleh pelanggan serta dipotong gaji,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Iqbal berkata, individu berusia 31 tahun yang didakwa OKU itu juga menyatakan dirinya tidak mempunyai kad OKU dan bekerja di restoran berkenaan selama lapan tahun dan turut menafikan dakwaan sebagaimana tular itu.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia bagi mengesan pemilik twitter nama Shabina.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

