Mohd Nazlan lapor polis berhubung dakwaan RM1 juta dalam bank

0
1

HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung artikel portal tempatan, Malaysia Today, mengaitkan beliau dengan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dikatakan dalam akaun bank miliknya.

Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia, dalam kenyataan berkata laporan itu dibuat merujuk kepada artikel ditulis Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan portal itu semalam.

Menurut kenyataan itu, Mohd Nazlan menafikan tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman, dalam artikel tersebut.

“Laporan polis ini juga dibuat agar siasatan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Pejabat berkenaan turut memandang serius perkara tersebut dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap Badan Kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

“Pejabat ini juga menggesa agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara serta memastikan pentadbiran keadilan dapat berjalan dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here