SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke berkata Undang-undang menyekat perbuatan lompat parti mesti digubal bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga di peringkat negeri.
Beliau berkata, sistem demokrasi yang sihat akan memacu pembangunan dan kemajuan sosio ekonomi negara dan negeri, dan ia tidak boleh dirosakkan oleh segelintir politikus yang mementingkan diri sendiri.
“Justeru, saya menyarankan Kerajaan Negeri Sembilan segera mengambil tindakan untuk membentangkan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri dalam Sidang Khas sekiranya perlu.
“Politik Negeri Sembilan kekal stabil dan telah mengharungi cabaran selama empat tahun ini walaupun Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai majoriti 4 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, perkara itu turut dinyatakannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam sidang DUN, semalam.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, beliau juga menyarankan kerajaan negeri mewujudkan satu Jawatankuasa Bertindak untuk menangani masalah perubahan iklim yang diketuai oleh salah seorang EXCO.
“Perubahan iklim merupakan masalah global tetapi ia mesti ditangani secara lokal. Perubahan iklim telah membawa kepada masalah bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh yang lebih kerap berlaku.
“Kerajaan Negeri perlu bertindak dengan lebih pro aktif dalam merangka dasar dan mengambil langkah persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Koordinasi yang lebih baik di antara agensi -agensi Kerajaan diperlukan dalam kesiapsiagaan bencana,” katanya. – Malaysiapost

