PDRM, JIM diarah siasat secara terperinci punca tahanan lari – Hamzah

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diarah untuk melakukan siasatan terperinci punca tahanan melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kesemua 528 orang tahanan yang melarikan diri adalah merupakan pelarian etnik Rohingya yang telah dipindahkan daripada Kem Wawasan Langkawi setelah ditangkap mencerobohi perairan negara dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020 lalu.

“Sehingga kenyataan ini, 382 tahanan telah ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, semua pihak termasuk warga asing yang berada di dalam Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan.

“Justeru, bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here