Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bantu 166 keluarga terjejas banjir

0
1

PASUKAN Bantuan Bencana Istana Negara menghulurkan bantuan kepada 166 keluarga asnaf di Kuantan, Pahang yang mengalami kerosakan pintu rumah akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Dalam inisiatif itu, pasukan tersebut sekali lagi berganding bahu bersama Yayasan Telekom Malaysia (TM) menggantikan sejumlah 245 set pintu baharu untuk 100 keluarga asnaf di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan dan 66 keluarga asnaf di Taman Inderapura.

“Kerja-kerja penilaian dan penggantian pintu telah dimulakan pada 1 Mac 2022 dan berakhir pada 9 April 2022 dengan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak seperti wakil-wakil Komuniti Rukun Tetangga (KRT), para penghulu, agensi-agensi Kerajaan dan pasukan sukarelawan Yayasan TM negeri, iaitu TM ROVers Pahang.

“Projek ini juga secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan dan membantu kontraktor tempatan di Pahang, yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, untuk kembali menjana pendapatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook Istana Negara.

Dalam masa sama, Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara, Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang juga Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat tinjauan akhir serta menganjurkan majlis berbuka puasa bersama wakil-wakil KRT pada 6 April lalu.

Majlis tersebut adakan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan dan turut dihadiri Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan Yayasan TM, Nuraini Ishak.

“Pihak KRT, yang mewakili keluarga asnaf, menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda dan Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara atas bantuan yang telah dihulurkan,” katanya.

Pasukan Bencana Istana Negara ditubuhkan atas cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir buruk.

Baginda turut menzahirkan hasrat agar pasukan itu bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka.

“Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban dan kebimbangan tentang keselamatan 166 keluarga asnaf terbabit serta dapat memberikan kegembiraan dan keselesaan kepada mereka, lebih-lebih lagi perayaan Aidilfitri yang menjelang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here