
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa individu yang terlibat dalam dokumen tular berhubung gerakan menjatuhkan Umno termasuk pemimpin parti itu, tampil membuat penafian sekiranya ia tidak benar.
Beliau berkata demikian dalam hantaran Facebook hari ini, mengulas isu dokumen tular dipercayai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang mana tercatit beberapa plan atau gerak kerja untuk menjatuh Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.
“Segera memenjarakan Presiden dan bekas Presiden Umno. Tindakan ke atas Timbalan Presiden Umno. Menolak pindaan perlembagaan Umno untuk pemilihan parti hanya selepas PRU. Juga merancang supaya MOU 2.0 diadakan bagi melambatkan PRU.
“Ini antara kandungan dokumen yang viral sejak kelmarin.
“Oleh kerana ia melibatkan kepimpinan parti yang bersama kerajaan, elok ada penafian segera sekiranya ia tak benar,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Ahmad Shabery berkata, isu tersebut adalah seakan-akan ‘Watergate skandal’ pengintipan di Amerika Syarikat tahun 1972.
“Wikileak ialah pendedahan dokumen2 sulit antarabangsa sejak tahun 2006.
“Apakah akan wujud Pasleak pula kalau tidak ada penafian dari Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sebagai tokoh penting dalam dokumen ini?
“Tahun 2022 ada kod tersendiri. 2+0+2+2 = 6. Kalau di Terengganu, istilah ‘berat 6 6’ ada makna yang besar,” katanya lagi.
Terdahulu, tular dipercayai minit mesyuarat pimpinan PN yang menyentuh gerak kerja bagi menjatuhkan Umno.
Difahamkan, dalam plot yang dirancang juga, ada kenyataan untuk mepercepatkan hukuman kepada Najib dan Ahmad Zahid.
Daripada kenyataan yang bocor itu juga, terdapat beberapa nama kepimpinan BN dilaporkan turut terlibat sama. – Malaysiapost
