258kg dadah bernilai RM7.7 juta dirampas

0
1

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan dua sindiket dadah dengan penahanan sembilan suspek dan merampas dadah bernilai RM7.7 juta dalam dua operasi di Kedah dan Pulau Pinang pada 16 hingga 18 April lalu.

Sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah berkenaan dikesan giat mengedar dadah jenis syabu dan ganja di Utara tanah air sejak pertengahan tahun lalu.

Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis telah melancarkan dua operasi yang membabitkan lima serbuan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, dalam operasi itu polis berjaya menangkap sembilan suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 31 hingga 52 tahun terdiri daripada ejen insurans, mekanik, jurujual dan kebanyakan yang lain adalah penganggur.

“Dalam operasi pertama yang dilancarkan pada 16 April lalu, empat suspek berjaya ditahan di Kepala Batas dan daripada tangkapan itu satu lagi serbuan dibuat di satu kawasan perumahan di Sungai Petani yang menemui sejumlah lebih 200 kilogram (kg) syabu.

“Dalam operasi kedua pada 18 April lalu jam 3.30 pagi, polis berjaya menahan lima lagi suspek dan merampas kira-kira 5kg syabu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan berjaya merampas sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM7.7 juta iaitu syabu 212kg dan ganja seberat 46kg.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran melalui Kelantan dan dibawa ke Kedah dengan menggunakan laluan darat sebelum mengedarkannya di pasaran tempatan.

“Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 1.1 juta penagih dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesemua suspek kini direman antara lima hingga tujuh hari bermula pada 17 dan 18 April lalu.

“Saringan awal air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, JSJN juga telah menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM423,000 membabitkan tujuh kenderaan dan juga wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan dadah dan harta yang dirampas adalah RM8.1 juta

“Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here