Berunding dengan parti lain bukan agenda peribadi individu tertentu – Saifuddin

0
1
KUALA LUMPUR 05 SEPTEMBER 2018. Temuramah bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

SETIAUSAHA Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan usaha Pakatan Harapan (PH) berunding dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah agenda peribadi individu tertentu. 

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan bagi memastikan PH terus meraih mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang dipersetujui bersama oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, ahli Majlis Biro Politik PKR dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin menjawab tuduhan dan propaganda yang seolah-olah menggambarkan bahawa berunding dengan mana-mana parti politik lain demi mendapatkan semula mandat rakyat itu adalah jalan pintas dan seperti satu gerakan individu oleh saya sendiri.

“Pendekatan berunding dengan parti-parti politik dan mengkaji permintaan daripada semua pihak terlibat adalah lebih baik berbanding tidak berbuat apa-apa,” katanya dalam satu klip video di Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa usaha PH untuk bergabung dengan parti-parti pembangkang lain sebagai memenuhi agenda peribadi individu tertentu. 

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu sebelum ini telah menyatakan bahawa PH sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRU15.

Pada masa sama, Saifuddin yang bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR 2022 itu menegaskan, keruntuhan kerajaan PH bukan akibat penolakan rakyat terhadap blok tersebut, sebaliknya berlaku kerana pengkhianatan ahli Parlimen PH sendiri.

“Waktu itu, tengok balik jumlah kita ada 109, nak jadi kerajaan kena cari lagi tiga. Penyokong kita minta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat sesuatu dapatkan balik kuasa, kita tidak boleh tunggu tiga tahun lagi PRU15 untuk ambil balik (kerajaan).

“Dah kurang tiga saja, carilah jalan. Nak cari mana tiga ini? Tentulah ahli Parlimen bukan PH, siapa mereka? Pas, Sabah, Sarawak dan Umno. Nak cari mereka ini keputusan PH, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR bincang sama-sama.

“Kita berusaha cari, ada dua kemungkinan, berjaya atau tidak. Tapi kalau kita tidak berusaha langsung, sah tidak jadi apa dan ternyata setelah berusaha, kita tidak dapat, kita kembali semula untuk menyusun parti dan terus bergerak. Itu isunya.

“Tidak ada satu saat pun keputusan berunding dengan pihak di luar PH dibuat oleh seorang manusia, ini keputusan bersama, cuma berakhir dengan kegagalan, maka serangan ditujukan kepada Presiden PKR,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here