140 tahanan imigresen warga Indonesia dihantar pulang

0
1

SERAMAI 140 warga Indonesia yang menjadi tahanan di Depoh Tahanan Imigresen, Pekan Nenas, Johor susulan kesalahan imigresen dihantar pulang ke negara asal mereka pada Ahad lalu.

Perkara itu dikongsikan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, yang membantu proses penghantaran pulang fasa pertama tahanan imigresen warga Indonesia berkenaan.

“Pada minggu lalu (17 April 2022), pasukan KJRI Johor Bahru telah memfasilitasi kegiatan deportasi sejumlah 140 orang warga Indonesia tahanan imigresen dari Depoh Pekan Nenas.

“Penghantaran pulang ini dilakukan atas kerjasama antara Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, KJRI Johor Bahru dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, ia adalah fasa pertama penghantaran pulang secara besar-besaran oleh pihak Kerajaan Malaysia membabitkan kira-kira 1,120 warga Indonesia yang berada di depoh-depoh tahanan imigresen di Semenanjung Malaysia.

KJRI Johor Bahru memaklumkan penghantaran pulang fasa selanjutnya adalah dijadualkan pada hari Kamis ini 21 April 2022.

Menurutnya, semua tahanan berkenaan kemudian akan diuruskan oleh Rumah Perlindungan Trauma Center (RPTC) dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) di Tanjung Pinang sebelum dihantar dipulangkan ke kampung halaman masing-masing.

“Dalam kesempatan taklimat kepada warga Indonesia tahanan imigresen tersebut, Koordinator Fungsi Konsuler Andreza S. Dasuki menyampaikan peringatan untuk sentiasa mematuhi peraturan, baik di Indonesia maupun di Malaysia.

“Pengalaman selama di penjara kiranya menjadi pelajaran berharga agar selalu mematuhi peraturan yang berlaku dimanapun kita berada,” katanya.

Menurutnya, kehadiran KJRI Johor Bahru dalam proses penghantaran pulang berkenaan adalah untuk memastikan tahanan imigresen yang selesai menjalankan masa hukuman penjara, berada dalam kondisi baik dan dipulangkan ke Indonesia.

“KJRI Johor Bahru mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan pelbagai pihak sehingga proses penghantaran pulang berjalan dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here