PGA tumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsi

0
1

BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor berjaya merampas dan membuat tangkapan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Taman Kota Puteri, Masai, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata sepasukan pegawai dan anggotanya bertindak menahan dua warga tempatan dan seorang warganegara asing berusia 36 hingga 40 tahun di sebuah premis di Taman Kota Puteri.

Menurutnya, selain tangkapan berkenaan pihaknya juga berjaya merampas pelbagai barang rampasan dianggarkan bernilai RM1,427,350 termasuk minyak diesel bersubsidi.

“Rampasan membabitkan 51 tong lutsinar kapasiti 1,000 liter setiap tong; empat mesin pam elektrik; minyak diesel bersubsidi anggaran keseluruhan 43,000 liter; dua set hos getah; lori tangki kapasiti 40,000 liter; lori tangki kapasiti 35,000 liter; lori tangki 25,000 liter; dan sebuah lori tiga tan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua mesin ‘flow meter’ mendapati jumlah diesel yang telah dipam ke dalam tangki telah melebihi sejuta liter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal yang dilakukan juga mendapati suspek telah menjual minyak diesel dengan harga RM3.85 per liter kepada pengguna kapal di sekitar Klang, Selangor.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tangkapan serta rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru dan Klang,” katanya.

Dimin menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang barangan kontraband serta kemasukan pendatang asing tanpa izin ( PATI) di laluan yang tidak diwartakan.

“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here