SEORANG lelaki ditangkap kerana disyaki mencabul dua wanita dan seorang remaja perempuan di sekitar Kuching Sarawak, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata suspek berusia 47 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching
pada jam 5 pagi semalam di kawasan Lundu, selepas beberapa hari diburu.
Beliau berkata, suspek dilaporkan mencabul dua wanita di Semariang Batu pada 12 April lalu.
“Dan suspek sekali lagi dilaporkan mencabul remaja perempuan berusia 16 tahun pada 15 April lalu, ketika mangsa berjalan berseorangan untuk pulang ke rumah di Jalan Matang – Depo Link Kuching,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahsmon, lelaki terbabit menunggang motosikal bertindakan dengan berpura-pura hendak bertanyakan sesuatu kepada mangsa.
“Setelah itu, lelaki suspek kemudian meraba mangsa sebelum melarikan diri.
“Justeru, dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes cabul,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman empat hari mulai hari ini sehingga 21 April dan kini ditahan di lokap IPD Kuching untuk siasatan lanjutnya. – Malaysiapost

