Umno nafi namakan Ismail Sabri calon PM helah licik percepat PRU15

0
2
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan

MENAMAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, bukan helah politik bagi mempercepatkan pilihan raya, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu berkata demikian menafikan dakwaan pembangkang yang menyatakan langkah menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebagai helah licik Umno ‘memperdaya’ PM segera mengadakan PRU-15, sebaliknya ia sebagai hak parti itu.

“Amanah pun boleh namakan Presidennya, Mohamad Sabu sebagai calon PM mereka. Begitu juga parti lain boleh namakan siapa jua calon PM mereka.

“Adalah menjadi hak Umno sebagai parti utama di Malaysia untuk menamakan siapa calon poster boy Umno bagi PRU-15 dan dalam hal ini kita sebulat suara namakan Ismail Sabri. Itu adalah hak kita. Ia bukan helah atau apa pun termasuk untuk percepatkan PRU15,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Khamis lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya PRU15 akan datang.

BACA LAGI: Ismail Sabri calon PRU-15 Umno – MKT Umno

Susulan itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad menyifatkan langkah Umno mengumumkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri itu satu helah untuk menggesa beliau menyegerakan pembubaran parlimen bagi PRU15 diadakan.

Khalid mendakwa, langkah itu seterusnya membuka jalan untuk Umno melantik Perdana Menteri lain yang lebih bersedia menyelamatkan kedudukan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, yang berdepan pertuduhan di mahkamah, seperti polemik Menteri Besar yang berlaku di Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menjawab dakwaan itu, Ahmad berkata, pelantikan Menteri Besar Johor yang bukan daripada calon poster boy Umno ketika PRN lalu, adalah atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang perlu dihormati.

“Umno juga menghormati perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam memperkenankan calon Perdana Menteri.

“Namun adalah menjadi hak kita sebagai parti utama di Malaysia untuk menamakan siapa calon poster boy Umno bagi PRU-15. Itu adalah hak kita dan bukan helah atau apa pun.

“Ia juga termasuk helah kononnya Umno mahu menyegerakan PRU15. Hak memanggil pilihan raya adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Bila-bila masa jika didapati sesuai oleh PM selepas mendapat perkenan daripada Agong, maka bolehlah diadakan PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here