
DATUK Seri Najib Razak bengang dengan tindakan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang cuba mengaitkan dirinya dengan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, hantaran yang dimuat naik Wan Ahmad Fayhsal memaparkan beliau menyampaikan anugerah kepada Siti Bainun selaku penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno itu, adalah posting lama iaitu pada 2016.
Malah, tegasnya, bukan beliau yang memilih Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Ampang itu untuk menerima anugerah itu.
Katanya, cuma kehadiran beliau di majlis tersebut hanya menyampaikan anugerah itu dan secara peribadi, Najib juga mengakui tidak mengenali Siti Bainun.
“Sejak tahun lepas, saya juga mengikut rapat kes adik Bella dan saya amat bersimpati pada adik Bella.
BACA LAGI: Najib dakwa terus di ‘pijak’ walaupun di bulan Ramadan
“Namun, bukan saya yang pilih penerima anugerah tersebut pada tahun 2016 dan secara peribadi, saya kurang berkenalan dengan Siti Bainun,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Najib meminta Wan Ahmad Fayhsal untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai Siti Bainun kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada ketika itu memegang jawatan Ketua Puteri Umno sebelum melompat ke parti Bersatu.
“Sebab itu, ianya lebih elok untuk kamu bertanya terus kepada Ketua Puteri Umno tahun 2016 yang sudah lompat ke PPBM (Bersatu). WAF, tanyalah kawan kamu sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Najib juga menempelak Wan Ahmad Fayhsal yang disifatkan terdesak untuk menjatuhkan beliau hingga sanggup mengaitkan dirinya dengan kes penderaan Bella.
“Inilah standard Bersatu. Ketua Armada Bersatu. Hanya sebab terdesak nak kaitkan Najib dengan kes Bella, dia baru kongsikan posting saya pada tahun 2016.
“Niat dia kami faham. Puasa atau tidak, dia tak kisah. Terdesak sehingga tak nampak siapa yang sebenarnya bertanggungjawab dan pernah jelaskan juga – iaitu rakan parti dia. Saya dah jelaskan dua kali dah sejak tahun lepas.
“Saya tahu pihak sebelah sana cuba kaitkan saya dengan #JusticeForBella sebab saya pernah hadir dalam sebuah majlis yang dianjur Puteri Umno 6 tahun dahulu pada tahun 2016 di mana Siti Bainun, diberi Anugerah Khas. Sebab saya pernah hadir satu majlis yang dianjur orang lain, kamu nak kaitkan dengan saya?
“Bos kamu (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dulu pun dalam parti saya. Sekarang kamu gelar saya ‘perompak’. Dengan logik yang saya, kamu nak kaitkan Muhyiddin dengan ‘perompak’ sebab dia pernah dalam kabinet dan parti saya tak? Ada akal, tak?,” katanya. – Malaysiapost.
