DAP kekal dengan keputusan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu, kata Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, selagi tiada keputusan baharu dibuat PH berhubung calon Perdana Menteri maka pendirian itu kekal.
“Bagi DAP sudah pasti kita dalam PH, apa pun keputusan PH mesti dibuat bersama, secara konsensus.
“Kami membuat keputusan lama dahulu. Itu keputusan tetap. Selagi tiada keputusan baru, maka keputusan itu masih kekal,” katanya seperti dilaporkan Malay Mail.
Belia berkata demikian ketika ditanya sama ada Anwar masih menjadi pilihan untuk mengetuai PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
BACA LAGI: Anwar pertahan jawatan Presiden PKR
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, partinya akan mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU akan datang.
Ia selepas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menamakan Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan Naib Presiden Umno, sebagai calon Perdana Menteri BN.
Untuk rekod, mengikut persetujuan terdahulu dalam PH, Anwar akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri bagi pentadbiran gabungan itu.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan PH tumbang apabila Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH dan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS. – Malaysiapost

