Muhyiddin calon PM ke-10 jika Bersatu menang PRU15

0
1

BERSATU mencadang bekas Perdana Menteri kelapan sebagai calon Perdana Menteri ke-10, jika parti itu diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden parti adalah calon paling layak untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu sudah membuktikan kemampuannya mentadbir negara ketika pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selama lebih 17 bulan mulai 29 Februari lalu.

“Bersatu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 Ahli Parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Muhyiddin akan dicadang sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau adalah Presiden parti berbanding Umno yang hanya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata demikian ketika mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khamis lalu, yang mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang

Katanya, walaupun semua parti boleh mencadangkan pimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri, Bersatu menganggap agak janggal apabila hanya pemimpin yang berada di kedudukan ketiga dalam parti dicadangkan Umno.

“Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan, ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan,” katanya.

Mengenai sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Razali berkata, Bersatu dan semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, semua pimpinan tertinggi parti dalam PN tidak bercadang untuk tumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri seperti dilakukan 15 Ahli Parlimen BN ketika menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.

“Kita dan pemimpin parti dalam PN termasuk PAS akan terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehinggalah beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here