VETERAN Umno menyambut baik keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam yang sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata ketetapan itu amat dialu-alukan dan pihaknya berharap teka teki gambar siapa yang akan menjadi poster boy dan persoalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri telah terjawab.
Sehubungan itu, Veteran Umno menyeru semua pihak dalam parti supaya berhenti membuat spekulasi dan provokasi yang boleh merugikan perpaduan parti.
“Veteran juga menyeru kepimpinan Umno terus mempererat silaturahim bersesuaian dengan keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) yang memberi mandat kepada ‘Top Five’ untuk cari jalan terbaik menyelesaikan sebarang isu berbangkit. Terutamanya di dalam menentukan tarikh PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha menegaskan, perpaduan Umno mesti dipelihara dan tiada lagi pihak yang melaga-lagakan pemimpin Umno.
“Veteran juga merayu semua pihak berhenti melaga-lagakan kepimpinan untuk mendapat keuntungan peribadi dan cuba menangguk diair keruh.
“Semua kepimpinan MKT mestilah melarang keras penyokong mereka supaya berhenti dari membuat sebarang komen negatif yang melibatkan kepimpinan lain,” katanya.
Justeru, Mustapha berkata, masanya telah tiba untuk setiap ahli Umno bulatkan tekad memastikan kemenangan pada PRU15 nanti.
“Ini masanya kita bersatu dengan satu suara dan matlamat untuk memenangi PRU15. Jangan ada lagi rasa curiga diantara mereka. Jangan ada lagi perbuatan tikam belakang.
“Jangan ada lagi mulut yang manis tapi sendawanya masam. Bulatkan tekad untuk kemenangan besar Umno dan BN dalam PRU15 nanti,” katanya. – Malaysiapost

