Pencarum LTAT dibenar buat pengeluaran haji maksimum RM10,000 – Hishammuddin

0
1
https://web.facebook.com/photo.php?fbid=512455900249539&set=pb.100044553994489.-2207520000..&type=3

PENCARUM Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibenarkan membuat pengeluaran haji mulai 15 April ini, maksimum RM10,000 dengan syarat telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji dari Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pengeluaran itu dibenarkan bagi pencarum yang telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT.

Katanya, pengeluaran kedua yang dibenarkan adalah bagi pendidikan dengan jumlah maksimum RM3,200.

“Ini bagi membantu pencarum yang mengikuti peringkat pengajian tinggi (Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana atau PHD) di universiti awam membuat bayaran balik jumlah yuran pendaftaran untuk semester 1,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, Bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut penjadualan kini juga telah dinaikkan daripada RM20 kepada RM50 sehari.

Menurutnya, selain itu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bakal menikmati Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang telah dinaikkan daripada maksimun 150 hari kepada 160 hari.

Beliau berkata, anggota ATM bakal menamatkan perkhidmatan juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan.

“Perancangan baru bagi menambahbaik aspek pendidikan anakanak warga ATM sedang diperincikan dan bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Ini termasuk penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif.

“Dalam pada itu, saya telah arah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar mempercepatkan pengagihan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM350 yang diumum semasa pembentangan Bajet 2022 tempoh hari,” katanya.

Hishammudin menjelaskan, Kementerian Pertahanan dan ATM sedang memperincikan beberapa lagi inisiatif dari semasa ke semasa bagi menaikkan soal moral dan semangat anggota dalam bertugas. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Hishammuddin Hussein

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here