POLIS kini memburu seorang sahaja lagi daripada keseluruhan tujuh banduan reman Penjara Jelebu yang dilaporkan melarikan diri sejak 10 April lalu.
Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin, berkata enam daripada banduan berkenaan sudah berjaya ditangkap semula termasuk tiga yang diberkas semalam.
Menurutnya, pada jam 10 malam tadi dengan berpandukan maklumat awam, pasukan mengesan diketuainya yang terdiri daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara berjaya membuat tangkapan terhadap tiga banduan reman terbabit.
“Tiga lagi banduan reman yang melarikan diri daripada Penjara Jelebu berjaya dibuat. Tangkapan dibuat di kawasan semak Jalan Purun, Kuala Klawang, Jelebu.
“Mereka adalah Zainuddin, 62; Mazlan Samah, 39; dan Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga tangkapan itu dibawa ke Mahkamah Jelebu untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan telah diluluskan selama empat hari sehingga 16 April ini.
“Operasi mengesan seorang lagi banduan bernama Muhammad Syafiq Rohmat dengan nama panggilan Umai masih diteruskan.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menyalurkan kebbalai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di talian 06-6136222 atau Bilik Gerakan Jelebu 06-6137999, atau Pegawai Penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan 016-6096996,” katanya. – Malaysiapost

