DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kecewa sikap segelintir masyarakat yang disifatkan ‘pekak’ dan ‘buta’ kerana masih tidak tahu menjaga kebersihan dengan membuang sampah di merata tempat terutama di kawasan awam.
DBKL menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya melakukan tinjauan pada awal pagi semalam di Taman Tasik Titiwangsa, dan mendapati sampah sarap bertaburan di kawasan laluan ‘jogging’.
Ia dipercayai kesan daripada mereka yang ‘melepak’ pada sebelah malam di taman berkenaan.
“Justeru, keadaan ini telah menyukarkan pengunjung taman terutama mereka yang ingin beriadah di awal pagi,” katanya.
Tambah DBKL, masyarakat yang bertindak sedemikan umpama peribahasa tak ada guruh pada si pekak; tak ada kilat pada si buta.
Oleh hal demikian, DBKL meminta individu atau pihak tidak bertanggungjawab itu supaya menghentikan sikap sedemikian kerana ia bukan sahaja mengotorkan kawasan taman, malah mengundang kehadiran haiwan perosak seperti tikus.
“Kelonggaran kepada SOP tidak bermakna anda boleh buat sesuka hati…kebersihan adalah milik bersama,” katanya. – Malaysiapost

