ANGGAPAN segelintir anak muda sekarang bahawa meninggalkan doa sebelum makan maka ia lebih menepati sunnah adalah tidak benar, kata pendakwah bebas Hafiz Al-Za’farani.
Menurutnya, ketika seseorang membaca doa sebelum makan, mereka tetap akan membaca bismillah sebelum makan, namun bezanya, pahalanya juga lebih kerana berserta dengan doa.
“Macam mana kita tahu dapat pahala? Jawabnya kerana bersesuaian dengam hadis Nabi: “Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, sekalipun jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus” (HR al-Tirmizi).
“Imam Al-Mubarakfuri mengatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa kita dianjurkan berdoa walaupun perkara remeh temeh,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook, hari ini.
Menurutnya, doa sebelum makan dan doa-doa lain yang diajarkan semuanya itu doa yang bermanfaat dan mendapat pahala jika beramal dengannya.
“Oleh itu, seseorang yang berdoa dan membaca bismillah sebelum makan tentulah lebih banyak pahalanya daripada seseorang yang membaca bismillah sahaja.
“Seseorang yang menuntut ilmu agama sepatutnya lagi banyak ilmu, lagi banyak amal. Bukan menambahkan ilmu untuk meninggalkan amal,” katanya. – Malaysiapost

