Kes 1MDB: Ambrin ada kuasa audit mutlak – saksi

0
1

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu yang bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mempunyai kuasa mutlak dalam proses penyediaan akhir Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dicadangkan peguam bela, Datuk N Sivananthan, yang mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan dipersetujui bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, selaku saksi pendakwaan ke-12.

Madinah yang mengambil alih jawatan Ketua Audit Negara selepas Ambrin bersara, turut bersetuju dengan cadangan peguam bela, bahawa Ambrin boleh menggunakan budi bicara penuh mengikut kehendaknya dalam proses penyediaan laporan audit itu, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui terhadap fakta bahawa Ambrin memberitahu bahawa beliau (Ambrin) mempunyai kawalan penuh terhadap pindaan laporan berkenaan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ambrin menafikan berlaku pindaan kepada laporan 1MDB yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan mengaku mempunyai kuasa penuh terhadap laporan itu.

Sementara itu, Madinah bersetuju, bahawa pihak yang diaudit boleh mengemukakan cadangan kepada juruaudit mengenai maklumat apa yang perlu disertakan dalam laporan audit.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa juruaudit mempunyai budi bicara untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak cadangan itu dan memutuskan apa yang perlu dimasukkan atau sebaliknya.

Madinah memberikan keterangan pada perbicaraan kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda, dalam kes pindaan Laporan akhir Pengauditan 1MDB.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here