Jadilah masyarakat yang utamakan kebersihan – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang mengutamakan kebersihan dalam tempoh negara beralih ke fasa endemik.

Gesaan itu dibuat Ahmad Zahid susulan keadaan kotor dan sampah sarap bertaburan di Taman Tasik Titiwangsa menerusi gambar yang dimuat naik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kebenaran beriadah ketika negara beralih ke fasa endemik tidak sepatutnya dicemari dengan tingkah laku negatif seperti itu.

“Sampah sarap bertaburan di laluan ‘jogging’ yang dikatakan ditinggalkan oleh pengunjung.

“Ini bukan apa yang mahu kita lihat sejurus negara memasuki tempoh peralihan ke fasa endemik,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya hanya segelintir pihak yang bersikap demikian, namun disebabkan kumpulan kecil ini tempias terpalit kepada rakyat umumnya.

“Ahli akademik sebelum ini meramalkan 14 juta tan sampah setahun akan dikutip menjelang 2022.

“Ia ekoran trend pungutan sampah setiap hari yang merekodkan peningkatan sejak 2012.

“Pastinya akan membebankan lagi pengurusan sisa pepejal negara yang sudah sedia ada terbeban,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya sistem pengurusan sisa pepejal berdepan masalah, negara dan rakyat juga akan menghadapi kesan buruk.

Justeru, katanya, adalah wajar rakyat terus menjaga kebersihan alam sekitar kerana ‘negara adalah rumah kita’.

“Kita buktikan pada dunia bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang mengutamakan kebersihan. Paling tidak pun masyarakatnya prihatin tentang petugas kebersihan yang perlu membersihkan sampah setiap hari.

“Kita mengurangkan beban orang lain InsyaAllah Tuhan akan mengurangkan bebanan hidup kita.

“Sesungguhnya Islam itu sendiri mengajar dan mementingkan kepada kesucian dan kebersihan,” katanya.

Terdahulu, DBKL menerusi hantaran di Facebook, kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang masih tidak tahu menjaga kebersihan terutama di kawasan awam.

Tinjauan DBKL di Taman Tasik Titiwangsa semalam, mendapati sampah sarap bertaburan di kawasan laluan jogging kesan daripada mereka yang ‘melepak’ pada sebelah malam di taman tersebut.

Keadaan itu sekali gus menyukarkan pengunjung taman terutama mereka yang ingin beriadah di awal pagi. – Malaysiapost

Foto kredit : Fb DBKL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here