DAP persoal tindakan kerajaan rayu kes kematian lapan remaja berbasikal lajak

0
1

DAP mempertikaikan tindakan kerajaan membuat rayuan berhubung sabitan kes terhadap Sam Ke Ting, 27, walaupun wanita terbabit sudah dua kali dibebaskan mahkamah sebelum ini dan kini dihukum penjara enam tahun serta denda RM6,000.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim Chee Keong, berkata Ke Ting sudah dua kali dibebaskan mahkamah pada tahun 2019 dan 2021 dan pernah didapati bahawa pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau berpendapat keadilan perlu ditegakkan bagi wanita terbabit walaupun pahit dan pedih.

“Malang tidak berbau, tiada siapa-siapa yang hendak kemalangan berlaku. Lebih-lebih lagi kemalangan yang mengorbankan jiwa muda.Tak dapat nafi akan ada emosi dalam kes ini, tapi keadilan perlu di tegakkan. Kebenaran dan fakta tidak boleh diketepikan.

“Peristiwa tragis itu berlaku di jalan raya selepas jam 3 pagi. Jalan raya untuk kereta bukan untuk basikal lajak. Jauh lagi untuk kanak-kanak di bawah umur secara sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini yang memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, wanita terbabit juga telah disahkan mematuhi had laju semasa kejadian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) seperti dilaporkan media sebelum ini.

“Basikal mangsa kemalangan merupakan jenis basikal lajak (basikal yang diubahsuai) yang tidak dibenarkan.

“Saya tidak faham kenapa kerajaan membuat rayuan walaupun Cik Sam sudah dua kali dibebaskan mahkamah pada tahun 2019 dan 2021 dan pernah didapati bahawa pihak Pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya.

Beliau tidak menafikan semua berasa sedih yang amat sangat atas kemalangan jiwa, dan tak kira macam mana pun, nyawa terkorban tidak dapat hidup semula.

“Ahli keluarga mangsa akan menanggung kehilangan besar ini seumur hidup mereka.

“Namun, ini tidak bermakna kita boleh memangsakan orang lain. Keadilan mesti juga ditegakkan walaupun pahit dan pedih,” katanya.

Menurutnya, Biro Guaman DAP juga sudi menawarkan bantuan guaman kepada Ke Ting untuk merayu keputusan mahkamah terkini.

Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, mengenepikan penghakiman Mahkamah Majistret pada 10 Oktober 2021 yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan dihadapi.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Beliau berkata, mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan pada akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here