KELUARGA Yasin Sulaiman dan peguam kini mencuba untuk mendapatkan rawatan perubatan buat penyanyi nasyid itu yang menghidap bipolar serius sejak 2009.
Abang kepada penyanyi itu, Zain berkata hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya sebelum ini menyerahkan urusan rawatan perubatan Yasin kepada pihak penjara.
Bekas komposer itu kini berada di Penjara Sungai Buloh susulan berdepan pertuduhan kes dadah.
“Kami sedang berurusan dengan pihak penjara untuk memastikan dia mendapat rawatan sewajarnya. Itu sangat penting kerana dia seorang pesakit bipolar.
“Rekod perubatan menyaksikan Yasin dimasukkan ke Wad Psikiatri HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) pertama kali pada 2009 dan sejak itu dia berada di bawah pengawasan doktor pakar.
“Dia memang ambil ubat berterusan. Episod paling teruk dilaluinya ialah pada 2009, 2013 dan 2018. Akhir tahun lalu dan awal tahun ini, dia dapat rasakan mungkin episod kronik itu berlaku semula.
“Itu yang dia sebut dalam mahkamah dia takut akan ‘crack’ lagi sekali. Akhir-akhir ini dia mengalami bipolar psikosis iaitu keadaan di mana pesakit tak dapat membezakan alam realiti dan khayalan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Zain, Yasin mengalami halusinasi dan delusi sering berjumpa doktor pakar di sebuah hospital swasta untuk mengambil ubat penyakitnya itu.
“Dia dapat ubat tambahan tapi masih alami psikosis. Itu yang buat kami risau. Bila dia dalam penjara, kami takut faktor-faktor ini akan ‘trigger’ kepadanya.
“Bipolar ini sama ada akan buat Yasin jadi ‘maniac’ ataupun tertekan. Jadi kami nak pastikan dia selalu stabil. Itulah keadaan dia sekarang.
“Peguam, Yusmadi Yusoff dapat melawat dia minggu lalu dan akan berbuat demikian lagi minggu ini serta akan ‘follow up’ berkenaan rawatan,” katanya.
Zain juga percaya adiknya yang didakwa atas pertuduhan mengedar dan menanam pokok ganja menerima layanan baik dari jabatan penjara.
“Kami belum berkesempatan jumpa dia dan minta Yusmadi aturkan dengan penjara untuk lawat dia dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum itu, Yasin tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

